Saturday, December 02, 2006

Temuduga

PADA 8 September lalu, tamatlah latihan mengajar bagi bakal graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI). Ia juga menandakan berakhirnya pengajian bagi kami yang bertungkus lumus selama hampir empat tahun pengajian di UPSI.

Sudah pasti ia saat yang dinanti-nantikan setiap pelajar yang berjumlah kira-kira 600 orang bagi sesi berkenaan (Opsyen Pendidikan Sejarah, Geografi, Ekonomi, Matematik, Sekolah Rendah, IT dan TESL.

Selepas tamat pengajian, penantian seterusnya adalah penempatan ke sekolah bagi memulakan karier sebagai guru. Bagaimanapun, setiap graduan pendidikan perlu melalui sesi temu duga terlebih dulu sebelum ditempatkan ke sekolah.

Ini adalah syarat baru yang dilaksanakan Kementerian Pelajaran. Graduan yang ditemuduga pula hanyalah yang selesai menghadiri majlis konvokesyen sedangkan majlis konvokesyen bagi kami berlangsung pada Ogos 2007. Ini bermakna kami terpaksa menunggu hampir setahun hanya untuk ditemu duga.

Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dalam akhbar pada 18 Mei lalu menyatakan bahawa terdapat kekurangan guru opsyen kritikal bagi sekolah rendah dan menengah. Ia termasuk opsyen Sejarah, Geografi, Bimbingan dan Kaunseling, Bahasa Inggeris, Matematik, Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, Pendidikan Seni, Kemahiran Hidup dan beberapa opsyen bagi sekolah rendah.

Opsyen yang dikatakan kritikal itu sebenarnya menepati opsyen yang dimiliki sebilangan besar daripada kami.

Dengan demikian, Kementerian Pelajaran seharusnya mengadakan sesi temu duga dan penempatan bagi kami secepat mungkin.

Kementerian Pelajaran tidak perlu menunggu sehingga majlis konvokesyen kerana UPSI menyediakan surat pengesahan tamat pengajian. Ia juga bagi mengelakkan graduan pendidikan seperti kami tidak mengalami pengangguran yang ketara serta dibebani hutang pengajian.

Selain itu, tindakan menemu duga dan penempatan segera dapat mengelakkan berlakunya guru yang bukan opsyen mengajar subjek kritikal.

ruangan pembaca - berita harian 2 disember 2006